APRIL 2024

Usaha Recoda Perangi Rasuah Diiktiraf


KUCHING: Inisiatif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) memulakan projek rintis Sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001 sebagai usaha memerangi rasuah mendapat pengiktirafan. 

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pengiktirafan ini memberi kepercayaan kepada pelabur luar dan rakyat terhadap integriti dan perjalanan tadbir urus berprinsip agensi kerajaan. 

Katanya, ia adalah sebahagian daripada perjalanan Sarawak menuju visi 2030 yang memberi penekanan kepada persoalan penyampaian dan ketelusan.

“Sekurang-kurang dengan pencapaian hari ini, kita telah mencapai satu peringkat kejayaan dan apa yang penting adalah sistem itu sudah ada,” katanya semasa menerima sijil tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sebagai Pengerusi RECODA, Abang Johari  memuji lembaga tersebut kerana mempamerkan peranan integriti yang boleh dipercayai dalam usaha memerangi rasuah.

“Saya menzahirkan tahniah kepada RECODA kerana sekurang-kurangnya sistem yang digunapakai dalam mereka mendapat pengiktirafan dari sudut usaha kita untuk memerangi rasuah,” katanya. 

Tambahnya, antara agensi lain yang terlibat dalam projek rintis ini adalah Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak (JAIS).

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.